‘Pas Kelantan kini sudah berubah’-Dr Mashitah

‘Pas Kelantan kini sudah berubah’

PASIR MAS: Rakyat Kelantan perlu sedar dasar kerajaan Pas Kelantan kini sudah berubah mengikut selera pemimpin mereka yang menjadikan Islam sebagai alat politik.

"Datuk Nik Aziz ( Menteri Besar Kelantan) pun sudah berubah. Dulu hiburan tak boleh, sekarang sudah boleh,” kata Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau berkata, bukti kerajaan Pas tidak konsisten membawa dasar pemerintahan yang didakwa berteraskan Islam sejak 15 tahun lalu apabila perkara berkaitan hiburan kini dibenarkan.

Pemimpin Pas, katanya banyak bercakap bohong kepada rakyat terutama di kampung bahawa nasib mereka tetap dibela.

"Pemimpin juga cakap bohong boleh bela nasib rakyat sedangkan yang kaya dan senang ialah ahli exconya, tetapi rakyat masih ramai yang susah. Inilah jenis pemimpin Pas yang nak kenyang perut sendiri saja.

"Apakah kalau Pas memerintah (negara) parti itu boleh jamin rakyat tidak akan susah," katanya pada majlis ceramah di Kampung Dangar di sini, semalam.


Sehubungan itu, Dr Mashitah yang juga Ahli Parlimen Baling mengajak rakyat Kelantan supaya berani membuat perubahan politik dengan memberi sokongan penuh kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, Islam sendiri menuntut umatnya memilih pemimpin berwibawa, berpandangan jauh dan prihatin kepada rakyat.

"Jadi, saya lihat calon BN (Hanapi Mamat) yang ditawarkan kepada rakyat di Pengkalan Pasir seorang yang menepati kriteria mengikut tuntutan agama.

"Di Baling (Kedah) yang tidak ada bezanya dengan Pasir Mas, rakyat berani mengubah (pemimpin) daripada Pas pada Pilihan Raya Umum lalu kepada BN. Jadi, kenapa tidak rakyat Pengkalan Pasir untuk turut membuat perubahan," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu ketika diminta mengulas mengenai Pas mendakwa mengundi parti dapat pahala, beliau berkata dakwaan itu adalah percubaan Pas mempolitikkan agama yang dibimbangkan boleh menjejaskan akidah umat Islam.

Katanya, berbeza dengan perjuangan Umno yang memperjuangkan agama dengan menggunakan politik.

"Kita (Umno) memperjuangkan agama, dia (Pas) menggunakan agama, sebab itu isu-isu yang dibangkitkan adalah berkaitan agama.

"Di kawasan saya ketika berkempen Pilihan Raya Umum 2004, Pas juga main isu apabila pangkah Pas masuk agama (Islam). Saya rasa sedih sebab tidak ada orang berani menentukan bahawa kita masuk ke syurga (undi Pas).

"Sedangkan Rasulullah SAW, pernah sebut pada anak baginda Fatimah bahawa baginda sendiri tidak boleh menjamin anak masuk syurga, tetapi Pas boleh jamin pangkah (undi Pas) dah boleh masuk syurga," katanya.

0 Response to "‘Pas Kelantan kini sudah berubah’-Dr Mashitah"