Sambutan Jubli Emas Kolej Islam

Artikel Rencana dari Utusan Malaysia Hari ini.

Kolej Islam pernah dicadang jadi Cambridge Malaya -- Sambutan Jubli Emas Kolej Islam

Oleh Dr. Zainuddin Jaffar(YDP PIBG KISAS)


before1

Kisas Before. Credit to - http://www.alkis.org.my

Jubli Emas 18 Jun 2005

Kisas, 18 June 2005,Sambutan Jubli Emas - Credit to http://humaimee.blogspot.com/

Akhbar Utusan Melayu pada tahun-tahun 40-an telah membantu meniupkan semangat tinggi untuk tujuan penubuhan Kolej Islam Malaya (KIM) dengan menyatakan harapan agar mutu guru-guru agama dan al-Quran di Tanah Melayu dapat dipertingkatkan, dan ini memerlukan kehadiran pengajian tinggi Islam untuk merealisasikannya.

Rencana pengarang tersebut juga memohon kerjasama dan sokongan dari Raja-Raja Melayu dengan menyatakan dalam bahasa merayu;

``Jikalau Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sanggup memberi derma kepada Universiti Malaya maka kita percaya Raja-Raja Melayu di Malaya ini sanggup menderma berlipat ganda lagi dalam perkara mendirikan Kolej Ugama Islam yang dikatakan itu''.

Pada 9 Januari 1949, satu perjumpaan telah diadakan di Singapura yang telah dihadiri oleh tokoh-tokoh agama dari Singapura dan Johor. Antara tokoh yang turut hadir adalah Mawlana Abdul Aalim al-Siddiqi (Penaung Persekutuan Seruan Islam Se-Malaya), Syed Ibrahim Omar Al-Sagoff (Yang Dipertua Persekutuan Seruan Islam Se-Malaya), Ahmad Ibrahim (Tan Sri Profesor) (Yang Dipertua Pemuda Islam), Datuk Awang bin Omar (Yang Dipertua Jabatan Agama Johor), Datuk Abdullah Isa (Bekas Pegawai Daerah Segamat), Abdul Jalil Hassan (Penolong Mufti Johor). Di dalam perjumpaan tersebut telah dibincangkan status dan kedudukan pelajaran agama Islam dan masa depan umat Islam dalam pelbagai lapangan.

Abdul Jalil Hassan dan Mohd Amin Amran telah ditugaskan menyiapkan satu kertas kerja dasar bagi mendirikan sebuah Kolej Islam di Malaya. Akhirnya sebuah jawatankuasa penaja telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini telah dipengerusikan oleh Datuk Syed Ibrahim Omar Al-Sagoff dan dianggotai oleh Kiyai Sheikh Muhammad Fadlullah Suhaimi (bekas Madrasah al-'Attas Johor Baharu, Muhammad Muhammadi), Ahmad Ibrahim dan Abdul Jalil Hassan.

Antara misi awal jawatankuasa ini adalah untuk menghadap Melayu dan membentangkan penyata penubuhan KIM dan memohon sokongan dan dorongan mereka. Sultan Pahang adalah sultan yang mula-mula ditemui dan baginda berjanji akan membentangkan penyata itu dalam Mesyuarat Raja-Raja.

Bantuan

Antara fakta-fakta penyata itu ialah kos mendirikan KIM itu adalah sebanyak RM500,000. Dari jumlah itu RM300,000 dijangka datangnya dari bantuan kerajaan Tanah Melayu, RM150,000 dari sumbangan sultan-sultan dan hartawan dan bakinya dari pertubuhan-pertubuhan dan rakyat jelata.

Kolej dijangka akan didirikan secara berperingkat, mengambil masa selama tiga tahun. Unjuran pelajar bermula dengan jumlah 100 orang terdiri daripada ``mereka yang telah menunjukkan kebolehannya belajar perkara yang dikehendaki dan adalah diberi peluang yang sama belajar dan tidak memandang kepada bangsa, tempat dan negeri''.

Gagasan penubuhan ini telah mendapat sokongan daripada Muktamar Ulama UMNO yang berlangsung di Muar Johor pada 21/ 22 Februari 1950 dengan sebulat suara.

Sungguhpun demikian, hingga akhir tahun 1952, perkara ini masih belum banyak kemajuan dicapai kerana pihak Jawatankuasa Penaja berharap Kolej Islam yang dicadangkan itu akan dianjurkan oleh pihak kerajaan seperti mana Universiti Malaya.

Dalam pertemuan semula pada 10 Disember 1952 di Singapura, Tunku Abdul Rahman menasihatkan agar difikirkan bahawa penubuhan kolej ini dijalankan dengan sokongan orang ramai.

Semangat ini mula berkembang dalam masyarakat Islam pada masa itu dengan ingatan bahawa ``kolej Islam di Malaya yang mengajar pelajaran-pelajaran dan perkara-perkara yang bersabit dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh orang-orang Islam tempatan harus akan memberi manfaat lebih-lebih lagi dari mengajar pelajaran-pelajaran umum seperti yang diajar di Universiti Al-Azhar di Kaherah Mesir''.

Rencana pengarang Utusan Melayu pada 16 November 1950 menyatakan dengan semangat ``Kolej Islam di Malaya harus menurut cara University of Cambridge di England, barang sudah tentu faedah yang akan tercapai oleh kolej yang bakal diadakan itu sekiranya pelajaran yang diajarkan kepada penuntutnya bersendikan masalah yang dihadapi di Malaya dari masa ke masa''.

Keputusan Sultan Selangor untuk memberikan sumbangan kewangan telah diberikan sanjungan oleh rencana pengarang tersebut betapa ``baginda Sultan Selangor dan beberapa orang Islam telah menunjukkan teladan yang baik dengan memberikan derma untuk penubuhan kolej itu''. Sultan Hisamuddin Alam Shah telah mencatat sejarah apabila baginda mengumumkan keputusan baginda mewakafkan Istana Selangor di Kelang untuk dijadikan bangunan Kolej Islam.

Berkat segala usaha yang dijalankan oleh Jawatankuasa Penaja dan sokongan segenap lapisan masyarakat pada masa itu, pada 25 Februari 1955 Kolej Islam Malaya telah dilancarkan dengan menerima 55 orang pelajar kumpulan pertama.

8 APRIL 1955


Kolej yang dipimpin oleh seorang anak watan yang mempunyai rekod pencapaian akademik cemerlang di Universiti Al-Azhar dan Universiti Kaherah iaitu Ismail Omar Abdul Aziz.

Selain dari itu, atas daya usaha Tuan Syed Ibrahim Omar Al-Sagoff, kerajaan Republik Arab Bersatu telah mengutus dua orang sarjana mereka iaitu Dr. Muhammad Abdul Rauf (kemudian dikenali sebagai Tan Sri Profesor Dr. Muhammad Abdul Rauf) yang kemudiannya menjadi pengetua yang kedua dan Dr. Abul Khayr Zaki Badwi (kemudiannya Profesor Dr. Zaki Badawi).

KIM hanya bertahan sehingga tahun 1970 dan lahir pula Kolej Islam Klang sebagai ganti walaupun hanya bertaraf sekolah menengah agama berasrama penuh. Matlamat dan cita-cita penubuhan KIM itu terus disalurkan melalui medium lain walaupun ramai yang berdukacita atas kehilangannya.

Kelahiran Kolej Islam Klang (KIK) yang kemudian menjadi Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) sebagai ganti telah menyaksikan institusi ini berperanan dalam apa jua situasi dan kondisi yang mengizinkan.

q22

For detail info Do click http://www.alkis.org.my/jubli/index.php (Dont forget do click with TM Net)

To EX KI yang berkelapangan jom ke Kg Jawa Weekend ni :P

0 Response to "Sambutan Jubli Emas Kolej Islam"