Tanzir

Lelaki mati nahas depan isteri

LANGKAWI: Seorang lelaki mati selepas dirempuh sebuah kereta ketika minum kopi di restoran tempat isteri mudanya bekerja, di Jalan Padang Putih, Temoyong, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa, Marzukhi Ismail, 57, cedera di kepala, badan dan patah kaki kanan manakala pemandu kereta itu pula hanya cedera ringan.Mangsa dikejarkan ke Hospital Langkawi oleh orang ramai bagaimanapun meninggal dunia lima jam kemudian.

Isteri pertama mangsa, Asma Yahya, 52, berkata ketika Marzukhi meninggal dunia, beliau dan madunya yang dikenali sebagai Hanisah, seorang warga Thai, berada di sisi mangsa."Sudah takdir agaknya. Selepas merajuk dengan saya dan membawa bantal ke dalam kereta, dia kemudian mati di depan isteri muda.

"Sebelum ini kami tidak pernah berbalah, malah hubungan saya dengan Hanisah cukup rapat dan saling menolong," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mata Ayer, di sini, semalam.

Marzukhi yang mempunyai lapan anak dikatakan berkahwin dengan Hanisah kira-kira enam bulan lalu.Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Trafik Langkawi, Cif Inspektor Sabri Mat Karim, berkata mangsa dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun yang berasal dari Sarawak.

"Ketika kejadian, tiada pelanggan lain di restoran itu kecuali Hanisah."Pemandu kereta terbabit membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Isteri hanya dapat lihat api marak

SIMPANG RENGGAM: Wan Mahera Wan Talib, 38, isteri pertama mangsa yang rentung dalam kemalangan di Lebuh raya Utara Selatan dekat Sedenak, malam kelmarin, meluru untuk membantu suaminya tetapi dihalang tiga jirannya.

Mahera berkata, beliau mendapat berita suaminya, Mazlan Ahmad, 39, terbabit dalam kemalangan itu menerusi jirannya yang sebelum itu dihubungi madunya, Wan Normi Wan Omar, 29.“Sebaik menerima panggilan itu, saya bersama tiga jiran bergegas ke tempat kejadian tetapi saya hanya sempat melihat api sedang marak membakar kereta suami.

"Saya cuba membantu Allahyarham bersama anaknya, tetapi dihalang tiga jiran lain kerana bimbangkan keselamatan saya," katanya ketika ditemui di rumah mayat, Hospital Kulai, semalam.

Dalam kejadian itu, Mazlan dan anaknya, Muammar Affis Qashree, 5, rentung apabila kereta mereka terbakar selepas terbabas dan melintang di tengah jalan sebelum dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dan diheret sejauh kira-kira 50 meter.

Mahera berkata, suaminya baru pulang dari Miri, Sarawak kira-kira jam 11 pagi kelmarin.Bagaimanapun, katanya, Mazlan tidak menunjukkan sebarang perubahan kecuali berpesan supaya menjaga diri dan empat anak mereka.

“Allahyarham juga memesan supaya saya belajar menggunting rambut empat anak kami ketika berhubung melalui telefon di Sarawak."Saya rasa pelik kerana biasanya dia sendiri yang menggunting rambut mereka, tetapi kali ini Allahyarham bersungguh-sungguh mahu saya belajar menggunting rambut anak.

"Selain itu, dia memesan kepada semua anaknya supaya belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya menyebabkan kami sekeluarga menitiskan air mata sebaik mengetahui berita buruk ini," katanya.


Isteri lihat suami tersepit dalam kereta


SIMPANG RENGGAM 4 Mei - ``Nomi tolong... abang tersepit,'' itulah kata-kata terakhir Mazlan Ahmad, 39, kepada Wan Nomi Wan Omar, 30, apabila isterinya itu menelefon mangsa sebaik sahaja dia melihat kemalangan melibatkan suaminya di Kilometer 45.1 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Sedenak di sini malam tadi.

Nomi berkata, ketika kejadian dia berada dalam bas ekspres menuju ke Kedah untuk pergi berkursus selepas dihantar oleh suaminya di Skudai, Johor Bahru.

Tambahnya, ketika bas tersebut bergerak perlahan di tempat kejadian, dia dapat melihat keadaan suaminya dengan jelas dari dalam bas.

``Saya melihat dengan jelas suami saya terperangkap dalam kereta.

``Saya sempat menelefon suami saya sebelum talian terputus.

``Saya kemudian meminta pemandu bas berhenti tetapi dia enggan sebaliknya hanya menurunkan saya di Hentian Rawat dan Rehat Machap kira-kira 40 minit perjalanan dari tempat kejadian,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 10.30 malam itu, seorang guru bersama anaknya mati hangus apabila kenderaan mereka terbakar dalam kemalangan di Kilometer 45.1 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Sedenak di sini.

Mangsa yang mati merupakan seorang guru Pendidikan Khas, Mazlan Ahmad, 39, dan anaknya, Muammar Affis Qashree Mazlan, 5.

Wan Nomi yang merupakan isteri kedua Allahyarham Mazlan memberitahu, selepas diturunkan di Machap, dia telah menghubungi rakannya supaya mengambilnya untuk dibawa ke tempat kejadian.

``Sejurus tiba di situ saya terperanjat apabila kereta suami saya hangus terbakar dan dimaklumkan oleh petugas lebuh raya bahawa kesemua mangsa yang terlibat telah dihantar ke hospital.

``Saya pada mulanya sukar percaya kerana ketika bas yang saya naiki melalui kawasan kemalangan itu, saya lihat kereta suami saya tidak terbakar,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tetap menunggu di tempat kejadian dan tidak lama selepas itu anggota bomba dan penyelamat datang membuat pemeriksaan pada kenderaan tersebut.

``Selepas itu anggota bomba menemui mayat yang sudah rentung dalam kereta berkenaan termasuk mayat anak kedua saya,'' katanya yang mempunyai tiga anak bersama Mazlan.

Katanya, dia mengecam arwah suaminya itu berdasarkan cebisan pakaian yang ditunjukkan oleh anggota bomba kepadanya.

Wan Nomi memberitahu, arwah suaminya baru pulang ke rumah kira-kira pukul 4.30 petang semalam selepas menghadiri kursus di Sarawak.

Katanya, arwah suaminya ada menunjukkan perubahan sikap ketika menghantarnya ke Skudai dengan menasihatinya supaya mendidik anak menjadi insan berjaya dalam pelajaran.

Tambah Wan Nomi, selain itu arwah suaminya juga berpesan supaya meneruskan perjuangan untuk membela nasib anak orang kurang upaya (OKU) kerana arwah merupakan guru Pendidikan Khas.

``Nasihat suami saya itu akan saya pegang bagi memastikan kanak-kanak istimewa mendapat pendidikan sempurna seperti kanak-kanak lain,'' katanya.

Jenazah Allahyarham dan anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Hassan di sini kira-kira pukul 4 petang ini.

0 Response to "Tanzir"