Jalan ke Haramain - 3

3/11/2010 2:15 PM by nuun
Huh lama jugak eh tak update cerita pasal perjalanan ke Haramain ni. Masa posting yang lepas ada yang tinggalkan komen tak sabar nak tunggu posting seterusnya. Saya tak pasti sama ada beliau masih sabar ataupun dah hilang sabarnya.

Maaflah ek kerana lambat.

Tapi rasanya mungkin takdelah lambat sangat memandangkan kursus haji bersiri pun baru sahaja bermula. Posting posting lepas menyentuh persiapan sebelum dan juga seawalnya kami sampai di Makkah Al Mukarramah, siapa rakan rakan yang dikurniakan Allah kepada kami sepanjang kami berada di sana.

Bagaimana dengan rutin harian kami di sana?

“Satu solat di masjidku lebih afdhal daripada 1 000 solat di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu solat di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100 000 solat di masjid-masjid yang lain” Sadaqa Rasulullah

Sudah tentulah aktiviti utama solat dan tawaf sunat.

Setiap hari saya akan ke masjid berjalan kaki dari hotel. Kalau sebelum Wuquf biasanya kami keluar dalam pukul 3-4 pagi sebab dalam sejam sebelum subuh memang nak dapat tempat sesuai agak susah. Walaupun di atas bumbung Masjidil Haram.


Pemandangan dari bumbung Masjidil Haram pada jam 4 pagi 16/11/2009


Suasana sesak di kawasan Hijr Ismail ( 1/3 akhir malam waktu paling mustajab doa, di Masjidil Haram, Hadapan Kaabah, Dalam Hijr Ismail...)Siapa tak nak?


Suasana memang sesaklah sebelum aktiviti Haji bermula, lepas haji barulah agak kurang dan terus kurang sebab kebanyakkan dari Jemaah sama ada dah pulang ke tanah air atau dah bertolak ke Madinah. Kalau sebelum Wuquf biasanya sejam sebelum memang dah kena bertolak ke masjid kalau nak dapat tempat yang sesuai kalau tak duduk di basement Masjidil Haram yang sejuk itulah. Perbandingan dia lebih kurang macam nilah kalau sebelum Wuquf, sejam atau setengah jam sebelum azan Subuh basement Masjidil Haram dah ditutup tak boleh masuk. Selepas Wuquf, kalau saya keluar dari hotel berjalan ke Masjidil Haram sewaktu azan mula kedengaran, saya sempat lagi takbir pertama bersama imam.

Selepas subuh, kami kembali ke hotel dan bersarapan biasanya ada juga yang ambil kesempatan untuk buat ibadah umrah ataupun tawaf sunat sebab keadaan dah agak lapang. Sarapan biasanya kalau kami tak makan di hotel, kami makan atau beli di kedai Pakistan yang berdekatan dengan hotel, Paya ke, Nihari ke tu kira makanan kegemaran sayalah tu.

Beratur untuk ambil sarapan di hotel

Tahu dok gapo Paya, Nihari, Keema tu?

Secara ringkas kebanyakkannya berasaskan kambing atau lembulah. Lagi satu kalau makanan macam nasi kerabu ke, ayam percik ke, nasi ambeng ke takdelah kat sini.Kalau kempunan jugak kena tahanlah sampai balik. Kalau tak makan yang tu kadang kadang kami beli kebab, murtabak atau air mangga di kedai chicken broast berdekatan.




Kedai Chicken Broast yang paling dekat dengan Pintu King Fahd

Macam ni jer yang dikatakan murtabak tu.


Kena Roti Nan dengan Paya ni fuhh cukup sedappp

Selepas sarapan biasanya kebanyakkan dari hari hari kami diisi dengan bacaan Al Mathurat dan kuliah serta sesi soal jawab bersama ustaz. Kalau kuliah diadakan sebelah malam, kami akan berehat (kalau roommate kami, baca TIDUR) hinggalah kewaktu solat Zohor yang masuk lebih kurang 12:15pm. Selesai solat Zohor kami kembali semula ke hotel untuk makan tengahari.

Saya pernah cuba untuk duduk dalam masjid dari Zohor sampai Isyak di masjid, tapi tahan dua tiga hari sahaja. Cuba tu pun bukan apa, masa selepas Zohor rasa tak lapar lagi jadi tunggulah dalam masjid sampai Asar. Jarak masa antara lepas Asar dan Maghrib pula taklah jauh sangat iaitu dari 3:45 sampai 5:30 (tapi kalau sebelum Wuquf kalau nak tempat yang kita betul betul puas hati kena datang setengah jam atau sejam sebelum azan lagi maksudnya dalam pukul 4:30 atau 5:00 ptg, macam mana nak balik tu). Apa yang saya mampu buat akhirnya beriktikaf pada kebanyakkan masa baik sebelum Wuquf atau selepasnya bermula dari Asar sampai selepas Isyak dan Alhamdulillah air zam zam yang disediakan dalam tong tong dalam kawasan masjid menjadi teman menghalang kelaparan atau dahaga.

“Sesungguhnya air zamzam itu penuh berkat, sesungguhnya ia makanan yang mengenyangkan.” Dan Abu Daud Ath-Thayalisi menambah dalam musnadnya: “Dan penyembuh penyakit.” Hadis Riwayat Muslim,Sadaqa Rasulullah .

Dan syukur juga saya tak ada masalah kena berulang pergi ke tandas untuk buang air kecil etc sepanjang saya beriktikaf.

Tong tong air zam zam banyak disediakan baik yang sejuk mahupun yang biasa

Gambar kredit kepada pemilik asal

Cuma bila duduk dalam jangkamasa yang lama,kena selalu ubah kedudukanlah sebab lenguh jugak kalau asyik duduk statik sahaja walaupun bersandar pada tiang masjid. Lagi satu kena alaslah tempat duduk dengan sejadah, pakai stokin dan sebagainya.


Saya selalu bersandar di tiang macam ni bila beriktikaf dari Asar ke Isyak dalam Masjidil Haram, bentuk tiangnya memberikan sokongan kepada pinggang dan kepala, jadi tak adalah lenguh sangat

Gambar kredit kepada pemilik asal


Kadang kadang ada juga terutamanya bila dekat dekat dengan hari Wuquf(minggu pertama Zul Hijjah) ada yang ambil kesempatan dan peluang untuk bersedekah tamar dalam masjid seperti di bawah. Kami pun terutamanya Ummu Muhammad juga turut mengambil peluang berbuat demikian sekadar termampu sebagai menyahut seruan nabi sebaik baik amalan adalah ith'am (bagi makan) sebab tu kat sini kalau berpeluang anda boleh lihat sampai berlori depa sediakan makanan untuk disedekahkan kepada muslimin dan muslimat.



Ni suasana di bahagian basement masjid


Bagaimana dengan hari Jumaat di sana?

Seingat saya saya sempat sekali sebelum wukuf dan sekali selepas wukuf bersolat jumaat di Masjidil Haram.Sekali di Mina dan sekali di Madinah. Kalau sebelum Wuquf, kami diberitahu ustaz pukul 9 pagi pun orang dah mula memenuhi jalan ke Masjid dan memang kami dinasihatkan suapaya keluar awal. Saya masih ingat Hari Jumaat sebelum Wuquf saya pergi ke masjid lebih kurang pukul 1030, sesampai di Basement, ruangan sudah agak penuh tetapi masih ada ruang ruang kosong, masa tu.Saya memilih untuk tidak terus ke basement tetapi sebaliknya cuba untuk masuk ke bahagian dalam Masjid dengan jangkaan mungkin ada ruang lagi di hadapan (dengan harapan boleh melihat Kaabah) apa yang jadi sudahnya Jumaat saya pada hari tu adalah di pesiaran jalan kaki di berdekatan dengan Hamzah Street(Bangunan Hilton Makkah) bersama lautan manusia yang lain.

Suasana Masjidil Haram pada 20/11/2009 (terakhir sebelum Wuquf)di mana saya solat di pesiaran jalan kaki di Hamzah Street. Gambar gambar lain boleh klik link ni.
Gambar kredit kepada Manzlie


Bila cakap lautan manusia, manusia ramai, penuh dengan manusia biasalah lain orang lainlah perangainya, walaupun rambut sama hitam tapi kelakuan sudah tentulah lain lain. Antara yang ketara yang saya perhatikan kalau jemaah dari Turki dan Indonesia mereka suka ‘berkeretapi’ kalau mengerjakan tawaf kalau yang dari Afrika pula (ataupun yang berkulit hitam) kita yang Melayu Nusantara ni kononnya ‘penuh sopan santun dan mengikut peraturan’ pula selalulah juga di’rempuh’ macam tu sahaja waktu tawaf nak nak pula waktu puncak. Sabar ajelah… Masa sebelum Wuquf memang saya agak ‘melawan’ juga bila selalu dirempuh, tapi balik dari Mina banyak saya mengalah bagi ajelah mungkin bagi mereka tu tak kasar agaknya.

Makan malam pula jadualnya dibuat selepas Isyak sehingga jam 9 malam. Selepas dinner kalau tiada program biasanya kami duduk dibilik buat aktiviti masing masing.Sebelum Wuquf memang ramai yang mengikut nasihat Ust supaya menyimpan tenaga supaya bila hari Arafah dan beberapa hari selepasnya kelak dapat memberikan yang terbaik. Antara yang menarik di Makkah ni selain dari saya cukup payah nak jumpa kereta yang tak kemek (kalau nak tengok yang tak kemek pergi Jeddah dakpun keluar dari Makkah) adalah tabiat pemandu arab yang suka membunyikan hon-hon kenderaan, kalau kat lampu isyarat tu, sebaik sahaja lampu bertukar hijau serentak dengan itulah akan kedengaran bunyi hon di belakang kenderaan kita sampai saya pernah kata orang arab ni kalau emergency mereka akan tekan hon dulu baru tekan brek. Lagi satu mereka ni kadang saya tengok plastik yang membaluti kerusi dalam kereta pun tak dibuka apakah rahsianya?

Beberapa hari sebelum Wuquf kami semua mengadakan ‘Raptai Haji’ iaitu sesi lawatan ke tempat tempat yang bakal kami pergi bila bermulanya ibadah haji nanti.

Bersambung…..


Nota: Semalam Syeikhul Azhar Dr Tantawi telah kembali ke Rahmatullah. Khabarnya beliau akan dikebumikan di Perkuburan Baqi' Bertuahlah bagi siapa yang ditakdirkan menjadi penghuni Baqi' Al Gharqad

“Sesiapa mampu untuk mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat untuk orang yang mati di situ” (HR Imam Ahmad dari Abullah bin Umar r.a.).

1 Response to "Jalan ke Haramain - 3"

  1. Ummu Auni Says:

    5 waktu di masjid la ni, bagus bagus..kami ni selalu 3/4 waktu je. balance tu solat jemaah di maktab. subuh di masjid. pernah buat dari zuhur sampai isyak. tapi tak tahan, sebab tak makan. makan tengahari pun selalu sejam sebelum zuhur baru keluar. kita nak berkejar ke masjid lagi.