2/17/2011 2:22 PM by nuun
Jabal Thur, seingat saya kali terakhir saya panjat gunung atau bukit adalah Gunung Angsi 10 tahun yang lalu, sebelum tu pernah Gunung Ledang, Gunung Nuang (Tak termasuklah Bukit St John, Bukit Cina dan Bukit Beruang lah) bolehlah minta suami makcik limau ceritakan sebab dia yang jadi pemandu pelancong kami dulu :P



Jabal Thur, bukit paling tinggi di kota Mekkah memiliki 3 puncak yang bersambungan dan berdekatan dan di salah satu puncak inilah terletaknya gua bersejarah gua Thur yang terkenal itu tempat Rasulullah Saw dan sahabatnya Abu Bakr RA bersembunyi dari kaum kafir Quraisy sewaktu perjalanan hijrah menuju Kota Madinah. Menyebut tentang hijrah, suka dikongsikan di sini fakta berkaitan dengan Hijrah melalui artikel di bawah





Rasulullah meninggalkan rumahnya untuk berhijrah ke Madinah pada malam 27 bulan Safar tahun keempat belas kebangkitan baginda bersamaan 12 atau 13 September tahun 622 Masihi. Baginda tiba ke rumah temannya Abu Bakr dan beredar keluar dari rumah Abu Bakr dari pintu belakang sebelum fajar menyinsing.

Rasulullah mengambil jalan yang berlawanan dengan jalan sepatutnya ke Madinah, iaitu jalan selatan menghala ke negeri Yaman, baginda mengambil jalan itu yang sejauh lima kilometer hingga tiba ke Jabal Thur, ianya merupakan bukit yang tinggi, jalannya sukar, pendakiannya berhalangan, berbatu-batu hingga melecet tapak kaki baginda (s.a.w). Diceritakan bahawa Rasulullah terhincut-hincut dengan tujuan menyembunyikan kesan tapak kakinya hingga melicit tapak kaki baginda, walau bagaimana sekali pun Abu Bakr telah mendukung Rasulullah, sesampainya mereka ke Jabal Thur itu, terasa berat oleh Abu Bakr namun beliau dapat menyampaikan baginda ke kemuncak bukit, dalam sejarah Islam dikenali sebagai gua Thur.

Perkara wajib, bergambar dengan Ust berlatar belakangkan Jabal Thur dan Ghar/Gua tsur terletak di puncaknya, anda boleh bayangkan( abaikan kepala saya yang botak itu) bagaimana Rasulullah yang berumur 50 tahun panjat naik ke atas, mungkin biasa untuk orang arab tapi mengah lah juga saya


Sesampainya mereka ke gua berkenaan, kata Abu Bakr, "Demi Allah, Rasulullah jangan masuk, kecuali setelah hamba masuk dahulu, sekiranya ada sesuatu yang berbahaya biar terkena hamba dahulu". Lalu beliau masuk ke dalamnya dan membersihkannya. Di sana, Abu Bakr mendapati sebuah lubang maka beliau mengoyak kainnya dan disumbatkannya dan beliau menyeru, "Sila masuk, Rasulullah". Maka baginda pun masuklah. Abu Bakr meletakkan kepala baginda ke ribanya hingga baginda lena


Pintu Gua

Seekor kala jengking telah menyengat kaki Abu Bakr yang terhulur ke dalam lubang, namun sedikit pun beliau tidak bergerak supaya Rasulullah tidak tersedar. Tetapi air matanya terjatuh ke muka Rasulullah. Kata Rasulullah, "kenapa dengan kau wahai Abu Bakr". Jawab beliau, "Aku telah disengat, demi ibu bapaku korban untuk kau, ya Rasulullah". Oleh yang demikian, Rasulullah menawarkan bekas sengatan tadi dengan ludahan baginda, maka segera hilanglah kesakitannya itu.

Pemandangan dari dalam Gua Thur, tempat Rasulullah dan Abu Bakr duduk bersembunyi

Selama tiga malam mereka bersembunyi di gua itu, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad, Abdullah bin Abu Bakr turut tidur bersama-sama mereka, ujar Aisyah, "Abdullah adalah salah seorang pemuda berpengetahuan dan cerdik, menemani mereka di waktu malam. Di hujung malam beliau keluar dari sana dan berada di kalangan Quraisy di pagi hari menampakkan yang beliau bermalam di Makkah bersama Quraisy, beliau mendengar dan mengingati segala sesuatu yang diperihalkan di Makkah untuk dibawa kepada mereka berdua di tengah malam".

Amir bin Fahiirah orang suruhan Abu Bakr bertugas memelihara kambing untuk membekalkan mereka berdua dengan susu dan daging panggang, beliau menyampaikannya kepada mereka berdua setelah malam berlabuh dengan melaung dan menyebut perkataan, "susu dan daging" kepada mereka. Beliau melakukan ini di ketiga-tiga malam persembunyian itu, selain dari itu, Amir bin Fahiirah juga bertugas menghalau kambingnya di atas kesan-kesan tapak kaki Abdullah bin Abu Bakr supaya tidak dapat dikesan oleh pihak Quraisy.

Ini ke puncaknya? berlatar belakangkan gerai yang dibina untuk menjual air, kokka dan gambar gambar Jabal Thur

Lor jauh lagi jalan menuju puncak. Ust selalu 'provoke' kami dengan cerita beliau masa panjat bukit ni,rasa mengah je panjat bukit ni tiba tiba berselisih dengan makcik yang bertongkat sedang turun dari puncak, terus je rasa semangat balik nak naik...Macam mana Abu Bakr boleh dukung Rasulullah SAW


Pihak Quraisy menjadi gila, setelah mereka yakin Rasulullah telah berhijrah dan terlepas dari cubaan membunuh baginda. Apa yang dapat mereka lakukan ialah dengan melanyak Saidina Ali(yang menggantikan tempat Rasulullah) serta diseretnya ke Kaabah dan mereka mengurungnya dengan harapan memperolehi berita arah mana Rasulullah dan Abu Bakr melarikan diri. Setelah mereka tidak dapat memperolehi sebarang maklumat dari Ali, mereka menuju ke rumah Abu Bakr al-Siddiq pula, setelah mengetuk pintu rumah, Asma' binti Abu Bakr pun keluar, kata mereka, "Mana bapamu?". Jawab Asma', "Demi Allah, mana aku tahu ke mana dia pergi". Sebelum beredar, Abu Jahal yang buruk akhlak itu, sempat juga menempeleng muka Asma' hingga melayang sebelah subang di telinganya.

Dalam sidang tergempar Quraisy, mereka telah membuat keputusan segera, iaitu mengerah seluruh jentera yang ada untuk menangkap Rasulullah dan Abu Bakr, semua jalan masuk ke kota Makkah diletakkan dalam kawalan dan pihak Quraisy menawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap mereka berdua hidup atau mati dengan hadiah yang lumayan, iaitu seratus ekor unta untuk seorang.

Di ketika itu seluruh jentera terdiri dari pahlawan penunggang kuda dan pejalan kaki hingga ke tukang pengesan tapak kaki,bertebaran ke pelusuk Makkah di lembah-lembah dan di bukit-bukit, di dataran mahupun di gua, namun kesemua mereka tidak berjaya. Mereka yang memburu tadi sempat juga sampai ke pintu gua Thur, tetapi Allah yang menguasai di atas segalanya. Imam al-Bukhari menceritakan dalam riwayatnya dari Anas dari Abu Bakr katanya, "Semasa aku bersama dengan Rasulullah di dalam gua, aku mendongak kepalaku, tiba-tiba aku melihat kaki-kaki Quraisy dari celah batu. Kataku,Wahai Rasulullah! kalaulah di antara mereka tunduk ke bawah, nescaya mereka dapat melihat kita di sini. Jawab Rasulullah, "Berdiam sahajalah, kita berdua, Allah yang ketiga bersama kita, dalam lafaz yang lain aku meyakini bahawa Allah bersama-sama kita".

Berlatar belakangkan Gua Tsur, yang orang ramai ramai duduk atas batu berbonggol tu, dibawahnya itulah Gua Tsur

Di hadapan pintu gua, tempat di mana Rasulullah SAW bersembunyi.kemungkinan besar tempak di mana AbuBakar RA nampak kaki kaki Quraisy adalah betul betul di hadapan tempat masuk itulah.


Setelah rondaan dan sekatan pemeriksaan dihentikan, setelah tiga hari berturut-turut, maka Rasulullah dan sahabatnya bersiap untuk keluar dan bergerak ke Madinah. Mereka berdua telah pun mengupah Abdullah bin Uraiqat, seorang yang tenang dan mahir mengenai jalan di padang pasir, beliau masih lagi dengan agama Quraisy, namun baginda mempercayai dalam hal ini, Rasulullah dan sahabatnya itu telah menyerah kedua-dua binatang tunggangan mereka kepada Abdullah, dengan menjanjikannya untuk menemui mereka di pintu gua, selepas tiga malam berlalu di malam Isnin satu haribulan Rabiul al-Awal, tahun pertama Hijriah bersamaan 16 September 622 Masihi, Abdullah bin Uraiqat pun tiba ke pintu gua dengan membawa dua tunggangan, kata Abu Bakr kepada Rasulullah, "Dikaulah sebagai ayahku, ambillah salah seekor tunggangan ini". Beliau pun menyerahkan yang terbaik di antara dua ekor itu. Jawab Rasulullah, "Ku ambil Dengan harga".

Asma' binti Abu Bakr pun membawa bekalan perjalanan Rasulullah dan Abu Bakr, beliau terlupa membawa tali pengikat untuk diikat bekalan tadi pada kenderaan baginda, akhirnya beliau mengoyak kain pengikat pinggangnya, sebelah diikatkan bekalan makanan yang sebelah lagi diikat semula ke pinggangnya, dengan itu beliau dikenali dengan "Zat al-Nitaqain " yang empunya dua tali pinggang.


Di puncak sana, terdapat juga gerai menjual teh dan air sejuk. Air sejuk? jangan terkejut saya tak tahu macam mana depa usung peti ais( yang empat segi putih macam kat kedai jual frozen tu) naik ke atas.


Orang ramai berbaris untuk memasuki gua tersebut melalui pintu belakang yang dibina supaya laluan di dalam gua menjadi satu hala.

foto jabal tsur
Pintu belakang gua untuk jemaah masuk. kredit to FOTO ANTARA/SAPTONO/


Pemandangan Kota Makkah dari puncak bukit, kelihatan Menara jam sedang dibina.

Beli beli air sejuk ada , air panas ada, kalau harga air teh tu sama je dengan harga kat bawah sana.

Sudut lain pemandangan dari puncak Jabal Thur. Bagaimana pemandangan 1400 tahun yang lalu dari lokasi di mana saya berdiri?


Turun dari Jabal Thur, malamnya Ust Halim buat surprise, perancangan kami suamiisteri 10 orang untuk menjamu jemaah haji dengan hidangan istimewa menjadi kenyataan, , kami duk bincang dengan ust masa yang sesuai sejak sebelum bertolak ke 'Arafah, tempahan dibuat selepas kami balik dari Mina dan Alhamdulillah merasa juga Nasi Mandi Kambing!



ustaz kami pandai melukis juga



nasi mandi kambing-tengok pun dah "goyang" selera rasa

special, model iklan kepala kambing
gang bilik kami bila berjumpa kambing, tak ingat dunia! ingat akhirat je :P

1 Response to " "

  1. Ummu Auni Says:

    ingat akhirat ke ingat kambing :D :D