Mencari pahala di hotel….?

Posa posa ni teringin nak makan best gak salah satu tempat makanan best yang banyak kat hotel la.. Ni satu artikel boleyla kalo nak baca. Artikel Saya??????? Nantilah.......


Mencari pahala di hotel….?
(Credit to Orginial Author)




Dalam bulan Ramadhan ni Kawan tengok banyak orang kaya memberi tumpuan kepada hotel.Hotelpun beri tumpuan pada orang kaya juga. Sebahagian daripada mereka tidak sempat nak berbuka puasa di rumah kerana kesibukan masing-masing.

Ada juga yang mengambil kesempatan ‘berehat’ menyediakan makanan atau juadah berbuka puasa kerana letih ataupun kesuntukan masa.

Walau apa sekalipun sebab-musababnya, permintaan untuk berbuka puasa di hotel-hotel mewah memang ada.

Malah, kerana permintaan tinggilah, ada hotel tertentu di Lembah Klang yang ‘menawarkan’ harga istimewa sehingga RM80 dan RM90 ++ satu kepala untuk berbuka puasa.

Banyak manalah agaknya yang akan dimakan oleh pengunjung berkenaan. Walaupun pihak hotel menyediakan sehingga 60 jenis kuih-muih untuk berbuka, dan 40 jenis lagi untuk makan malam, tidak mungkin ada pengunjung yang mampu menikmati kesemua jenis juadah berkenaan.

Dengan RM90 seorang makan di hotel mewah, kita sebenarnya boleh menikmati juadah yang hampir sama sebanyak sembilan kali di sebuah restoran biasa. Atau, kita boleh juga mengajak sembilan orang lain untuk memeriahkan makan malam kita.

Kalau dah berbuka puasa di hotel, tidak mungkin berseorangan, tentu sekali membawa keluarga atau kawan-kawan. Jika pergi sebanyak 10 orang, bermakna RM900 dah tentu terbang.

Jika dibuat jamuan di rumah menggunakan perkhidmatan katering dengan kadar RM10 seorang, kita sudah dapat menjamu 90 orang. Alangkah bertuahnya jika yang dijamu itu adalah anak-anak yatim dan fakir miskin.

Bersedekah pada golongan sedemikian tentu besar pahalanya di samping dapat kita mengelak daripada membazir dan makan pada kadar berlebihan yang pastinya bertentangan dengan tujuan umat Islam diwajibkan berpuasa.

Apabila berpuasa, kita berpeluang merasakan keperitan yang ditanggung oleh orang miskin dan tidak berkemampuan yang berlapar sepanjang masa.

Berpuasa juga dari sudut kesihatannya memberi ruang kepada ‘jentera-jentera pemproses’ dalam perut kita untuk berehat.

Malangnya, berbuka puasa atau lebih tepat ‘berpesta makan’ di hotel tidak menepati maksud tersebut. Makan pasti sekenyang-kenyangnya dan ada kala ‘terlepas’ pula menunaikan solat maghrib.

Bagi individu yang mampu, carilah rumah-rumah anak yatim yang begitu banyak di negara kita, termasuk di Lembah Klang. Raikan mereka dan mereka pasti akan mendoakan kita. Doa anak yatim dimakbulkan Allah.

Begitu juga dengan syarikat-syarikat gergasi atau separuh gergasi. Alangkah bahagianya jika anak-anak yatim dan fakir miskin dijamu di hotel-hotel. Selepas berbuka, berjemaah maghrib bersama-sama dan kemudiannya memanjatkan doa kesejahteraan kepada Ilahi.

Jika berhajat bersedekah dan meraikan lebih ramai lagi, bawa makanan ke rumah mereka. Nikmati juadah bersama-sama – bukan sahaja golongan tersebut akan berterima kasih dan berbesar hati, kita juga akan dapat menikmati keinsafan, teladan dan muhasabah diri.

Tidak sukar untuk mendapatkan anak-anak yatim dan fakir miskin. Jika susah juga, hulurkan sahaja sumbangan kita kepada masjid-masjid jame’ yang menyediakan juadah berbuka puasa. Tahulah pihak jawatankuasa masjid menguruskannya.

Menyentuh pihak hotel pula, adalah tidak adil jika kita membuat suatu kesimpulan semua hotel menaikkan harga makanan untuk berbuka puasa. Walaupun belum kedengaran adanya hotel yang memberikan potongan istimewa atau menurunkan harga, masih banyak hotel yang mengekalkan harga buffet masing-masing seperti sebelum bulan puasa.

Ada yang serendah RM40 sekepala, tetapi jumlah hidangan ditambah. Ada juga hotel-hotel tertentu yang menganjurkan sendiri majlis berbuka puasa untuk anak-anak yatim.

Hotel Quality Inn, umpamanya menjadikan majlis tersebut sebagai amalan saban tahun. Hotel ini bekerjasama dengan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri Selangor, meraikan golongan tertentu.

Alangkah baiknya, setiap hotel khaskan satu hari dalam sebulan bagi meraikan golongan yang memerlukan ini. Jadi dalam sebulan, ada 29 hotel yang boleh dikunjungi untuk berbuka puasa secara percuma.

Amalan beberapa hotel tertentu yang menghulurkan makanan dan minuman berbungkus kepada orang awam, khususnya pemandu teksi dan lori kecil, elok juga diteruskan. Pemandu teksi tidak perlu berhenti lama untuk berbuka dan kemudiannya bersolat maghrib.

Elok juga jika hotel-hotel terkemuka berkenaan menjual nasi bungkus pada harga yang rendah. Hotel tidak akan rugi, sebaliknya hendaklah melihat amalan itu sebagai satu tanggungjawab sosial yang besar ertinya.

Jika dosa ada di mana-mana, pahalapun begitu juga.

0 Response to "Mencari pahala di hotel….?"