Tanda aras Naib Canselor

2/23/2006 2:49 PM by nuun
Second Edition Gambar on the way.. sabau sabau.. sementara tu bole baca artikel di bawah menarik..buat modal bersembang.. :P



Tanda aras Naib Canselor

Oleh Nordin Kardi

Dalam susunan semula Kabinet Perdana Menteri yang terbaru, jawatan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia telah bertukar tangan daripada Datuk Seri Dr. Shafie Salleh kepada Datuk Mustapa Mohamed. Adakah beberapa perkara yang telah diasaskan oleh menteri terdahulu akan diubah oleh menteri yang baru?

Saya percaya masyarakat universiti bersedih dengan tiadanya Dr. Shafie yang telah mengasaskan Kementerian Pengajian Tinggi dan mengalu-alukan kedatangan Mustapa.

Terdapat banyak istilah-istilah yang sekarang menjadi percakapan harian di kampus-kampus universiti seperti universiti berkelas dunia, ranking, kerangka kelayakan, pemindahan kredit, penanda arasan dan banyak lagi.

Banyak di antaranya kelihatan seperti buah-buah fikiran baru, walaupun dalam sorotan tulisan-tulisan mengenai universiti, istilah-istilah itu telah lama dikenali. Walau apa pun, ahli masyarakat universiti sentiasa diberi inspirasi supaya meningkatkan pelbagai perkara dalam urusan universiti.

Tanggapan-tanggapan awam mengenai universiti kadangkala tidak dilihat secara komprehensif, sebaliknya dilihat dalam bentuk cebisan-cebisan mengikut konteks. Apabila ranking Universiti Malaya menurun daripada kedudukan di bawah seratus (89) kepada kedudukan ke seratus enam puluh lebih (169), perdebatan di Dewan yang mulia menjadi hebat sekali sehingga ada cadangan-cadangan memotong gaji menteri.

Hal ini mungkin baik dari segi menggambarkan budaya ambil berat para pembuat undang-undang terhadap prestasi kerja para eksekutif berkaitan universiti. Namun, hal ini mungkin menjadi bahan ketawa orang universiti di negara maju.

Agaknya apakah Itali riuh-rendah kerana Universiti Bologna, universiti Eropah tertua di dunia, yang telah ada lebih dahulu daripada Oxford, berada di belakang Universiti Malaya? Profesor Dr. Hashim Yaacob tersenyum membaca laporan THES (Times Higher Education Supplement) apabila mendapati Universiti Otago (tempat beliau mendapat pengajian kepakaran, yang mungkin kepakaran itu tiada di Universiti Malaya) berada jauh di belakang Universiti Malaya.

Riuh-rendah universiti di negara ini mungkin samalah seperti Malaysia ingin menjadi negara maju menjelang 2020, Selangor telah pun mengisytiharkan Negeri Maju, Kedah hendak mengisytiharkannya pada tahun 2010, universiti di Malaysia pun tidak mahu ketinggalan mengisytiharkan macam-macam.

Dalam kes Malaysia negara maju, nasib baik Tun Dr. Mahathir Mohamad memasukkan klausa `mahu maju mengikut acuan sendiri', jika tidak mungkin Malaysia juga akan menyerahkan kepada akhbar yang setara dengan THES untuk membuat pengisytiharan sama ada hasrat itu dicapai seperti tanda aras yang ditetapkan oleh laporan tersebut.

Dengan adanya klausa itu bolehlah Malaysia memilih tanda arasnya sendiri atau, jika mahu juga, memilih tanda aras orang lain yang hanya sesuai dengan Malaysia.

Jika Naib-Naib Canselor universiti di Malaysia boleh dibenarkan memilih tanda aras pilihan mereka sendiri, mungkin mereka memilih beberapa aspek sahaja daripada seberapa banyak tanda aras mengenai Naib Canselor. Antaranya tentulah gaji tahunan atau bulanan Naib Canselor.

Penanda arasnya pula tentulah Universiti `Ivy League' Amerika Syarikat (AS), iaitu RM1.52 juta setahun atau RM126,667 sebulan. Orang Malaysia akan mengatakan ini suatu jenaka dengan menyimpulkan bahawa, jika begitu, lebih baik jadi Naib Canselor daripada menjadi Ketua Eksekutif dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia.

Hal ini tidak akan diketawakan di AS kerana Harvard pernah memasukkan calon Presiden Amerika Al Gore, sebagai calon Presiden Harvard (setara dengan Naib Canselor) mulai tahun 2001, selepas beliau tidak berjaya menjadi Presiden negara itu. Al Gore dikatakan tewas kerana pemilih bimbang jika beliau menjadi Presiden Harvard, `pembiyaan' daripada pengikut Republikan akan berkurangan.

Calon Presiden Amerika lain yang pernah menjadi calon `Naib Canselor' Harvard ialah Dukakis. Betapa pula Harvard boleh mengeluarkan surat amaran kepada Henry Kessinger bahawa jika dia tidak melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Negara AS dan pulang ke Harvard, `tempoh jawatannya' akan ditamatkan?

Selepas memutuskan tanda aras utama Naib Canselor ialah imbuhan kewangan, para Naib Canselor akan pula mengemukakan tanda aras kedua iaitu tempoh memegang jawatan Naib Canselor. Sekali lagi tanda aras yang dipilih mestilah tanda aras universiti nombor satu dalam senarai THES.

Apabila disemak tempoh perkhidmatan `Naib Canselor' Harvard, akan didapati dalam tempoh 132 tahun (1869 hingga 2001), Harvard mempunyai hanya enam `Naib Canselor' yang bermakna tempoh purata khidmat seorang Naib Canselor ialah 22 tahun! Rekod terlama Naib Canselor Harvard dipegang oleh Charles William Eliot, selama 40 tahun (1869 hingga 1909).

Sekali lagi orang Malaysia akan kata, itu rekod Kurun Pak Kaduk. Rekod terbaru pula Derek Bok memegang jawatan itu selama 20 tahun (1971 hingga 1991, seperti Pak Ungku), iaitu Naib Canselor yang hanya diselangi oleh seorang lain yang bernama Neil Rudenstine, sebelum diambil alih oleh Naib Canselor sekarang iaitu Lawrence H Summers.

Sekali lagi apabila saya berbual dengan Profesor Dr. Hashim, saya akan menyindir beliau bahawa belum pun panas kerusi yang didudukinya, dia akan bersara. Sindirian saya tentulah akan menyebabkan Naib Canselor lain ketawa lebih besar dan ketawa itu ditujukan kepada diri kami sendiri.

Tanda aras selanjutnya tentulah pula mengenai kelulusan Naib Canselor. Naib Canselor mesti ada kelulusan Ph.D. Jika tiada bagaimana harus mengetuai institusi yang dipenuhi oleh rakyat yang mempunyai Ph.D?

Mungkin ini juga yang menyebabkan Perdana Menteri semasa mencipta kementerian tersebut memastikan untuk memilih Menteri Pengajian Tinggi dari kalangan ahli politik yang memiliki Ph.D. Menteri pula seterusnya memastikan KSU (Ketua Setiausaha) dan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi dan stafnya memiliki Ph.D belaka, sedangkan Opinion Journal yang dikeluarkan oleh Wall Street Journal mencatatkan bahawa hanya 50 peratus Presiden (Naib Canselor) universiti di Amerika Syarikat yang mempunyai Ijazah Doktoral!

Memandang ke Britain, hanya seorang daripada lima orang Naib Canselor mutakhir Universiti Cambridge memiliki Ijazah Ph.D (Richard Hume Adrian, 1985-86, memiliki Ijazah Doktor Perubatan; Michael William, 1987-88, memiliki MA; Sir David Glyndwr, 1989-96, memiliki MA dan LLB; Lord Alec Nigel 1996-2003, tidak dicatatkan kelulusannya; dan Alison Faltes, 2003-kini, memiliki Ph.D dan MA).

Apakah pula bidang pengajian tumpuan bagi kelulusan Naib Canselor? Sekali lagi orang Malaysia mungkin akan berkerut dahi jika saya mencadangkan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menjadi Naib Canselor universiti di Malaysia yang tersenarai dalam THES, sedangkan Naib Canselor Harvard sebelum Summers ialah Rudenstine seorang tokoh puisi.

Namun demikian, pada masa Rudenstine, Harvard dengan beraninya melancarkan komitmen pencarian wang sebanyak AS$2.1 bilion dan yang berjaya dikutip ialah AS$2.6 bilion, suatu rekod baru tercipta dalam sejarah universiti di sana. Harvard mencatatkan himpunan pembiayaan sebanyak US$ 19.2 bilion, iaitu, mengikut catatan Opinion Journal, menyamai atau melebihi, bajet 142 (setiap sebuah) negara dunia.

Demikianlah apabila banyak tanda aras orang lain diminta agar digunakan oleh setiap Naib Canselor universiti di Malaysia untuk menaikkan martabat universiti masing-masing. Untuk tujuan memastikan tanda aras meliputi pelbagai aspek yang `standard' digunakan, para Naib Canselor juga akan belajar, tentulah dengan penuh sopan dan santun, menyelitkan tanda aras yang dinyatakan.

Jika Menteri Pengajian Tinggi baru memihak kepada para Naib Canselor, mungkin Dewan yang mulia akan riuh-rendah sekali lagi supaya gaji menteri baru juga dipotong RM10 kerana membawa cadangan yang tidak masuk akal di Malaysia.

p/s : Berita Harian hari ni baru jer memaklumkan Presiden Harvard akan meletak jawatan..so sapa nak apply bole lah..

0 Response to "Tanda aras Naib Canselor"