Cabaran untuk hidup dalam kelas satu
Ruang & Waktu Oleh Adam A. Kadir
ISA (bukan nama sebenar) menghisap rokok ketika memandu. Selepas itu beliau menjentikkan puntung rokok itu ke atas jalan raya. Apabila ditanya kenapa beliau berbuat begitu, beliau menjawab: ``Biar pekerja bandar raya buat kerja.''
Seratus meter kemudian, Isa memaki-maki apabila tiga orang melintas jalan sesuka hati, dan tidak mengikut ruang berjalur untuk pejalan kaki yang disediakan. Tiba di lampu trafik di sebuah simpang empat, beliau terpaksa menekan brek secara tiba-tiba kerana satu keluarga asing dari sebuah negara ketiga (suami isteri dan tiga orang anak) berlari-lari di atas ruang jalur semasa lampu merah. Kali ini Isa hanya menggeleng kepala.
Di sebuah kompleks beli-belah, Isa pergi membuang air kecil di sebuah tandas. Dia terdengar dua orang wanita merungut betapa kotornya tandas yang mereka baru masuki. Dalam tandas lelaki, sambil merungut dalam hatinya kerana bau yang meloyakan, Isa sama-sama melaksanakan seruan alam seperti beberapa orang lain - bertaburan, tidak mengikut arah secara cermat dan tertentu.
Sering juga Isa teringat cerita yang pernah beliau dengar tentang seorang yang pernah menuntut di Amerika Syarikat (AS) lebih 30 tahun dulu.
``Kampus universiti saya betul-betul bersempadan dengan sebuah kota,'' kata orang itu. ``Di tepi kota itu terdapat satu peti akhbar. Tiap-tiap hari saya masukkan duit koin 15 sen, lalu peti itu terbuka, dan saya ambil senaskhah akhbar. Semua orang buat begitu. Kalau mahu, semua akhbar yang bertimbun dalam peti itu boleh diambil sekali rap dengan harga hanya 15 sen. Bagaimana kalau peti begitu diperkenalkan di sini?''
Sebelum keluar dari kompleks tersebut, Isa ternampak seorang sedang mencari bakul sampah untuk membuangkan tisu di tangannya. Apabila orang itu bertanya, orang yang ditanya menguakkan dua belah tangannya sambil menjawab kasar: ``Mana aku tahu!''
Kebetulan pula Isa ternampak di mana bakul itu terletak, dan dia lantas memberitahu orang itu. ``Terima kasih banyak,'' katanya. Beliau terus pergi selepas menepuk bahu Isa sebagai satu tanda penghayatan.
Dari episod dan adegan yang diperturunkan di atas, kita boleh membuat kesimpulan berikut.
Isa sudah mempunyai sedikit, dan bukan semua, ciri-ciri hidup sebuah negara kelas satu. Lebih tepat lagi kalau disebut ciri-ciri hidup dunia pertama. Dalam episod pertama, Isa tidak patut memberi alasan beliau membuang puntung rokok sesuka hati di jalan raya kononnya supaya pekerja bandar raya menjalankan kerja mereka.
Sekali pandang, alasan Isa itu berbunyi betul, tetapi apabila dikajikan secara lebih teliti, kita akan dapati alasan begitu adalah tidak wajar. Bayangkan kalau 500,000 orang mencampakkan 10 puntung rokok di sekitar bandar raya Kuala Lumpur setiap hari, jumlahnya ialah lima juta puntung.
Kalau ditimbunkan di satu tempat, timbunannya tentu seperti sebuah busut besar. Disebabkan puntung rokok itu berselerak di merata-rata, maka Majlis Bandaraya diandaikan terpaksa menggajikan 20 orang pekerja atau membayarkan kontraktor untuk memastikan puntung-puntung itu tidak mengotorkan kota.
Dari mana bandar raya dapat wang untuk membayar gaji pekerja atau kontraktor itu? Dari pelbagai cukai, jawabnya.
Seperti yang kita sedia tahu, pembayar cukai adalah terdiri daripada penduduk kota Kuala Lumpur. Lagi banyak episod sebegitu rupa berlaku, lagi berat beban yang dipikul oleh pembayar cukai.
Namun begitu, puntung rokok yang menyepah itu adalah sumber yang menjejaskan kesihatan orang ramai. Rawatan kesihatan menuntut kos yang tinggi. Jumlah mereka yang menghidap batuk dan selesema adalah ramai. Ini boleh kita tinjau di hospital dan di klinik-klinik swasta.
Segalanya melibatkan wang dari kocek sendiri dan daripada sumber kerajaan. Ini belum dikira penghidap sakit kanser. Menurut sumber penyelidikan yang berwibawa, dua daripada tiga orang penghidap kanser adalah terdiri daripada mereka yang merokok.
Selepas melakukan suatu yang bersalah, Isa terus pula bersikap betul apabila beliau tidak bersetuju melihat orang yang melintas jalan sewenang-wenang dengan tidak mengikut peraturan.
Gelagat keluarga asing itu adalah seperti kebiasaan orang Malaysia suatu ketika dulu. Mereka sesuka hati melintas dengan hanya melihat ruang berjalur tetapi tidak mengira sama ada lampu merah atau hijau yang menyala.
Perbezaan dulu dengan sekarang seolah-olah menunjukkan bahawa orang Malaysia sudah dapat melangkah ke dunia pertama menurut ukuran begitu. Sebaliknya, masih terdapat orang dari negara-negara dunia ketiga lain yang masih jauh dari sempadan dunia pertama.
Pengalaman hidup di dunia pertama, seperti yang dilalui oleh seorang yang pernah menuntut di AS itu, menunjukkan nilai-nilai hidup yang murni bukan monopoli mana-mana agama atau cara hidup. Membuka peti akhbar yang bertimbun dengan hanya memasukkan 15 sen (tidak ada orang yang mengambilnya lebih daripada satu naskhah) adalah satu sikap amanah yang masih sukar diikuti di Malaysia.
Saya difahamkan, pernah timbunan akhbar ditempatkan di sebuah meja di Kuala Lumpur. Pembeli boleh memasukkan wang dalam sebuah peti yang terletak di sebelah. Apa yang berlaku ialah, bukan saja akhbar-akhbar itu lesap, peti wang pula tidak tahu ke mana hilangnya!
Adegan di kompleks beli-belah menunjukkan Isa dalam dua gelagat. Satu, gelagat kebiasaan dalam kehidupan dunia ketiga. Dua, gelagat yang bercirikan dunia pertama. Isa tidak suka bau busuk dan tindakan tidak berdisiplin ketika berada dalam tandas, tetapi beliau melakukan juga apa yang beliau tidak suka, seperti apa yang dilakukan oleh orang lain di situ.
Orang yang mencari bakul sampah untuk membuang sampah menunjukkan satu teladan yang baik dari segi amalan kesihatan awam, tetapi ciri-ciri hidup dunia ketiga masih mengongkong orang yang beliau meminta tolong. Jawapan yang elok diberikan ialah: ``Maaf, saya tak tahu,'' dan bukan dengan menempelak kasar seperti yang ditunjukkan oleh pihak yang diminta pertolongan itu.
Sebaliknya, Isa didatangi rasa lunak yang sepadannya, apabila beliau memberitahu dengan baik di mana letaknya bakul sampah kepada orang itu. Sesuailah pula apabila orang itu berterima kasih dan menepuk bahu Isa sebagai satu penghargaan.
Tidak berapa lama dulu bekas Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong, pernah merungut tentang tahap ekonomi dan tahap kehidupan Singapura. ``Tidak ada maknanya prestasi ekonomi Singapura terjumlah dalam dunia pertama, kalau orang Singapura masih menjalani hidup seperti orang dunia ketiga,'' katanya.
Itulah juga cabaran yang Malaysia hadapi kini.
- TAN Sri Adam Kadir ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara.