"Setahun selepas sebutir peluru itu''
(Presiden Mercy Malaysia)
PUKUL 5.30 petang di Kuala Lumpur. Langit mendung tanda hujan akan turun. Saya duduk seorang diri di dalam klinik. Keadaan begitu sunyi dan sepi. Setahun yang lalu, betul-betul pada saat ini, saya dan rakan-rakan ditembak di bandar Saddam yang sekarang dikenali sebagai bandar as-Sadr, tempat yang kini menjadi tumpuan dunia di Baghdad.
Saya duduk mengelamun di kerusi. Tidak semena-mena parut lubang bekas peluru dan bekas torehan pembedahan sepanjang lapan inci di bahagian kiri pinggang dan paha saya terasa berdenyut kesakitan. Saya tersenyum sendiri. Rupa-rupanya terlalu jauh lamunan saya.
Setahun telah berlalu tetapi ingatan itu masih begitu segar seperti baru semalam saja semuanya berlaku. Saya masih dapat mendengar desingan peluru yang melintas di atas kepala seolah-olah ia dilepaskan dari dalam bilik klinik itu. Saya masih dapat melihat wajah Dr. Baba Md. Deni menjerit kesakitan ketika sebutir peluru menembusi pinggang kirinya masuk ke tangan kanan dan singgah di tubuh saya. Saya masih dapat merasa tangan Don yang menekan kepala saya ke bawah.
Nafas saya terasa sesak. Hanya telefon yang tiba-tiba berdering mengejutkan saya kembali ke alam nyata; di sebelah sana suara jururawat memberitahu saya pesakit sudah siap hendak bersalin.
Benarkah setahun sudah berlalu? Tetapi kenapa imej-imej sama yang pernah saya lihat sebelum dan sepanjang perjalanan di Iraq itu masih ditayangkan di televisyen? Tiada apa-apa yang berbeza. Asap hitam mengepul dari puncak bangunan yang dibom. Raungan wanita dan anak-anak kedengaran ketika mayat ahli keluarga tercinta dibawa ke hospital. Kekecewaan dan susah-payah para pekerja kesihatan yang bertungkus lumus siang malam membantu mereka mengutip kembali sisa-sisa hidup yang berkecai.
Mungkin setahun telah berlalu. Mercy Malaysia telah jauh berkembang sejak peristiwa malang 12 April 2003 itu. Langkah-langkah keselamatan kami telah diperketatkan malah lebih ketat daripada kebanyakan NGO antarabangsa. Projek-projek kami telah masuk ke fasa pemulihan dan pembinaan semula. Hospital Ibn Al-Quff yang dulu musnah teruk sekarang sudah berdiri semula setelah dibina semula oleh kumpulan kontraktor dan jurutera kami; bersedia menerima kembali para pesakit tulang belakang seperti sebelumnya. Kanak-kanak di Hospital Latihan Paediatrik Al-Mansoor sekarang ini sudah boleh berjalan menggunakan tangga bergerak. Semua kerja pendawaian elektrik untuk membolehkan hospital itu berfungsi semula telah kami siapkan. Malah kolam hidroterapi juga telah kami baiki dan boleh digunakan untuk membantu kanak-kanak itu pulih daripada kecederaan.
Tetapi ke mana kami selepas ini? Apabila Naib Presiden Mercy, Dr. Mohamed Ikram Mohd. Salleh pulang dari Baghdad Februari lalu, beliau memberikan kami harapan bahawa masih banyak yang boleh dilakukan. Kami malah merancang untuk membina sebuah unit kelecuran yang sempurna di Hospital Al-Mansoor supaya para pesakit mendapat rawatan yang sewajarnya dan bukannya ``mati sia-sia'' seperti dikatakan oleh Dr. Ikram. Dana yang ada sudah kami sebelahkan untuk melaksanakannya.
Sekarang, selepas setahun, kami berdepan dengan realiti terpaksa berpatah balik ke belakang untuk sekali lagi memberikan bantuan kecemasan. Kami terpaksa menangguhkan projek-projek pembinaan semula sehingga fasa bantuan kecemasan ini selesai. Nyawa terpaksa diselamatkan. Bantuan segera ubat-ubatan, peralatan, pembalut dan makanan perlu sampai kepada mereka yang memerlukan di Falujjah dan daerah-daerah lain.
Deja vu. Saya pernah melalui semua ini, berdepan dengan isu dan keperluan yang serupa. Pada kali ini, kami mempunyai lapan kakitangan rakyat Iraq yang berdedikasi menjaga pejabat kami di Baghdad. Mereka bergadai nyawa untuk memastikan semua bantuan itu tiba. Apabila pengurus projek Iraq, Dr. Hamid Mohammed al-Tai mengirimkan e-mel mengatakan tiga buah trak berjaya dihantar ke Falujjah empat hari lalu saya gembira dan bangga. Kakitangan kami juga mewarisi keghairahan dan semangat yang sama seperti semua pekerja dan sukarelawan Mercy, alhamdulillah. Mereka bersungguh-sungguh mahu meneruskan kerja walaupun berdepan dengan risikonya. Ketika para pekerja asing bergegas dipindahkan keluar dari Iraq, kami hanya mampu membantu mereka dari ibu pejabat di Kuala Lumpur dan Amman. Dengan dana yang ada. Dengan doa yang ditadah.
Penderitaan itu masih terasa dari ingatan kepada Ghufran dan Khalid yang mati pada hari yang penuh tragedi itu setahun yang lalu. Ghufran dicengkam ketakutan semasa dia memandu kami di Baghdad. Saya cuba berjenaka dengannya tentang jam tangan yang kami sama-sama pakai pada hari itu, kedua-duanya kami beli semasa menunaikan haji sebelum itu. Dia tersenyum panjang apabila melihat saya keesokan pagi dan dia berikrar akan terus berjihad di jalan Allah dan membantu kami. Tiada sesiapa pun di antara kami yang tahu bahawa enam jam selepas itu dia akan kembali menemui-Nya. Semoga Allah merahmati rohnya dan menempatkannya di syurga, amin.
Ke mana Iraq selepas ini? Bagaimana nanti anak-anak itu membesar? Apa khabar Mustafa, anak kecil yang bersembunyi di bawah tangga setiap kali bom digugurkan? Kami tiada di sana untuk menggenggam tangannya. Apa cerita Myriam, Mena dan anak-anak perempuan Dr. Raheem yang sentiasa tersenyum? Apakah senyuman itu masih manis di bibir mereka?
Dan bagaimanakah nasib para pekerja kemanusiaan yang sekarang menjadi sasaran? Hari ini (Isnin, 12 April) saya menerima berita bahawa Mercy Indonesia di Falujjah kehilangan seorang sukarelawannya. Abu Ibrahim yang sedang menaiki ambulans Mer-c Indonesia bersama tiga pesakit ditembak oleh pesawat Amerika Syarikat. Kesemua mereka meninggal dunia. Setahun yang lalu kami ditembak, rakan kami meninggal dunia. Kenapa? Adakah kerana cekal membantu mereka yang menderita? Adakah kerana berusaha menghantar bekalan kecemasan ke hospital yang memerlukan? Tidak! Kerana menurut mereka ambulans itu dan tiga orang di dalamnya disyaki sebagai kenderaan yang boleh menjadi senjata (vehicle bound improvised explosive device). Saya tidak akan memahami semua ini.
Air mata saya mengalir bukan mengenangkan mereka yang terbunuh tetapi mereka yang masih hidup. Adakah kita sudah hilang rasa kasih sayang dan hormat kepada orang lain? Tidak adakah ruang untuk bertolak ansur, berbincang, berunding dan bekerjasama? Adakah kita terlalu mementingkan diri sendiri sehinggakan hanya pandangan kita saja yang betul?
Kenapa semua ini tidak ada dalam CNN atau BBC? Adakah pengorbanan sukarelawan seperti Abu Ibrahim tidak wajar diberi perhatian? Dan semua wanita, kanak-kanak, lelaki, sukarelawan dan wartawan yang turut sama gugur kerana sikap angkuh dan amarah manusia, siapakah yang bersuara demi mereka?
Setahun berlalu sejak kami ditembak. Tuhan tidak memilih kami untuk dicabut nyawanya pada hari itu. Tetapi sebutir peluru itu atau hari yang telah ditentukan-Nya setahun yang lalu tidak akan saya lupakan. Ia akan sentiasa mengingatkan saya tentang rapuhnya hidup ini. Apabila masanya tiba - ketika sinar harapan dan kasih sayang berkerdip seperti lilin di tengah-tengah ribut ketidakadilan, saya akan berada sekali lagi di luar sana bersama mereka yang memerlukan kami.