Menyusul kepada siri siri ziarah kami selepas sempurnanya manasik haji, kami teruskan dengan menziarahi maqam ummahaatul mukminin yang ada di Makkah dan sekitarnya. Maqam yang kami ziarahi adalah maqam Khadijah radiyallahuanha dan Maimunah radiyallahuanha.
Khadijah
Sedikit catatan sirah mengenai kisah wanita mulia ini.Ibn Ishak menceritakan:
Khadijah binti Khuwailid, adalah seorang wanita peniaga, mempunyai kedudukan yang mulia dan tinggi di kalangan masyarakat Quraisy, biasanya beliau menawar peniaga-peniaga untuk berniaga dengan hartanya, dengan berkongsi keuntungan, terutamanya dengan orang-orang Quraisy yang memang terkenal sebagai ahli perniagaan.
Sebaik sahaja Khadijah mendengar perkhabaran mengenai diri Rasululullah, cerita cerita tentang kebenaran pertuturan , ketinggian akhlak mulia baginda, tanpa berlengah beliau menghantar utusan, menawarkan kepada baginda untuk keluar berniaga dengan hartanya ke negeri Syam, Khadijah menjanjikan baginda untuk memberi bahagian kongsi yang lebih lumayan dari yang biasa diberi kepada peniaga-peniaga lain, untuk itu, beliau telah menghantar budak suruhannya mengiringi Rasulullah bagi membuat tawaran dan tawaran itu telah diterima oleh Rasulullah (s.a.w) dengan baik. Baginda pun keluar ke sana bersama Maisarah budak suruhan Khadijah hingga tiba ke negeri Syam.

Maqam Khadijah sebelum diratakan
Sekembalinya Rasulullah (s.a.w) ke Makkah, Khadijah mendapati hartanya terjaga dengan penuh amanah dan berkat, ditambah dengan cerita-cerita yang dilaporkan oleh Maisarah, mengenai segala sesuatu yang diperhatinya di sepanjang pergaulannya dengan Rasulullah di sana, dengan akhlaq yang lemah lembut, mulia, fikiran waras, minda penuh kepintaran dan perwatakan yang lurus, Khadijah merasakan seolah olah beliau sudah berjumpa semula dengan mutiara kehilangannya.
Sebelum ini pembesar-pembesar dan pemuka-pemuka Quraisy amat perihatin untuk mengawini beliau, namun kesemua lamaran dan permintaan mereka ditolak, kini hasrat dan cita-citanya itu didedahnya kepada sahabat karibnya Nafisah binti Manyah, Nafisah bertanggungjawab menemui Rasulullah (s.a.w) untuk merestui hasrat Khadijah kepada Baginda, untuk mengahwininya, Rasulullah (s.a.w) pun mempersetujui hasrat Khadijah dan menerima untuk berkahwin dengannya. Baginda pun memberitahu persetujuan tadi kepada bapa-bapa saudaranya, dengan itu mereka semua telah datang menemui bapa-bapa saudara Khadijah dan terus meminang Khadijah untuk Rasulullah (s.a.w), tidak berapa lama upacara perkahwinan pun dilangsungkan, dan telah dihadiri oleh Banu Hashim dan pemimpin pemimpin Bani Mudhar. Mahar perkahwinan ialah dua puluh ekor unta betina, usianya dimasa itu sudah meningkat empat puluh tahun namun di ketika itu beliaulah seafdhal-afdhal wanita pilihannya dari segi nasab keturunannya, harta dan pemikiran.

Saidatina Khadijah Bt Khuwailid ialah isteri Rasulullah (s.a.w) yang pertama. Beza umur mereka amat jauh.... Rasulullah (s.a.w) 25 tahun, manakala Khadijah 40 tahun.
Rasulullah (s.a.w) sentiasa terkenangkan Khadijah dan memuliakan sahabat-sahabat Khadijah walaupun Khadijah telah tiada. Beliau merupakan isteri pertama kepada Rasulullah (s.a.w). Dan Baginda tidak mengahwini mana-mana perempuan pun semasa hayatnya, hinggalah beliau meninggal.Kesemua anak-anak Baginda adalah dari Khadijah kecuali Ibrahim dari Mariah al-Qibtiyah, anak pertamanya bernama Qasim, dengannya Rasulullah (s.a.w) digelar Abu al-Qasim, kemudian Zainab, Rukiah, Umi Kalthum, Fatimah dan Abdullah, beliau bergelar sebagai al-Tayyib dan al-Tahir, anak lelakinya kesemuanya meninggal semasa kecil, manakala anak-anak perempuannya kesemuanya sempat dengan kebangkitan Baginda sebagai Rasul utusan Allah, kesemua mereka memeluk Islam dan kesemua mereka berhijrah, semua mereka ini wafat semasa hayat Baginda kecuali Fatimah seorang sahaja yang wafat selepas kewafatan Baginda enam bulan kemudian.
![[TowerClock.jpg]](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgPRyrgG8Ge3raeieeNXedN2iHr2ZUNDgYTZ_jONwVW502hoWrsIfoGRWuFJqlhdPtG0Fiq5Sm0GE0_mPUduVJGdxCiiD13Eg-ZV0K7VWKrWZHDfvS-yjFtjYRQ2StmgznjlXLn/s1600/TowerClock.jpg)
Kalau Khadijah Radiyallahuanhu merupakan isteri pertama yang dikahwini oleh Rasulullah (saw), Maimunah Radiyallahuanhu pula adalah isteri terakhir yang dikahwini oleh baginda sewaktu baginda dalam perjalanan untuk umrah Qadha.
Di dalam perjalanan umrah ini Baginda (s.a.w) berkahwin dengan Maimunah binti al-Harith al-Amiriyah, di mana Rasulullah (s.a.w) sebelum memasuki Makkah telah mengutus Jaafar bin Abi Talib yang sedang berada di hadapannya untuk menemui Maimunah. Maimunah telah menyerahkan urusannya kepada al-Abbas, kerana kakaknya Ummu al-Fadhl bersama al-Abbas dengan itu al-Abbas pun mengahwinkannya kepada Rasulullah (s.a.w) sewaktu Rasulullah (s.a.w) bergerak keluar dari Makkah dan melantik Abu Rafi'e sebagai pemegang amanah di Makkah untuk membawa Maimunah keluar dari Makkah.
Sayyidatina Aisyah r.a melalui kata-katanya……..
“ Beliaulah ( Maimunah ) orang yang paling taqwa di antara kami ( para isteri Rasulullah (s.a.w) ) dan yang paling banyak melakukan silaturrahim !”
Maimunah merupakan Ummul Mukminin yang terakhir dinikahi oleh Rasulullah (s.a.w) Beliau sangat berbesar hati apabila Rasulullah s.a.w. sudi mengambil diri beliau sebagai isteri sekaligus mendapat gelaran Ummul Mukminin.
Sebelum Maimunah menjadi Ummul Mukminin, beliau pernah berkahwin sebanyak dua kali. Perkahwinan beliau bersama Mas’ud bin Amr tidak sehaluan dan akhirnya mereka berpisah. Setelah itu, Maimunah memulakan hidup baru dengan berkahwin untuk kali kedua bersama Abu Rahman bin Abdul Uzza. Suaminya itu meninggal dunia pada tahun 7 Hijrah di mana ketika itu beliau sudah menjadi wanita tua yang berumur 51 tahun.
Al-Abbas dan isterinya sangat kasihan dengan keadaan Maimunah yang tidak mempunyai tempat bergantung hidup. Jadi, bagi meringankan beban Maimunah, mereka telah mengemukakan cadangan kepada Rasulullah s.a.w. supaya Maimunah dijadikan isteri baginda. Bahkan Maimunah pernah menyatakan hasrat hati beliau untuk menjadi isteri baginda sebelum ini kepada saudara beliau itu. Cadangan ikhlas kedua suami isteri itu diterima baik oleh Rasulullah s.a.w.. Dengan rela hati, baginda menghantar peminangan melalui Jaafar bin Abu Talib untuk menyunting Maimunah sebagai isteri baginda.
Akhirnya perkahwinan Maimunah dan Rasulullah s.a.w. dilansungkan pada bulan Syawal dalam tahun 7 Hijrah dengan mahar 500 Dirham. Di awal perancangan kaum Muslimin, perkahwinan itu mahu dilaksanakan di Mekah, tetapi terpaksa diadakan di luar Mekah kerana kaum Kafir Quraisy tidak mahu baginda berada di Mekah terlalu lama. Sebenarnya baginda telah tinggal di Mekah selama tiga hari untuk tujuan haji setelah tujuh tahun baginda dan kaum Muslimin tidak pulang ke tanah air. Oleh itu, perkahwinan yang penuh barakah itu diadakan di Saraf, suatu tempat di antara Mekah dan Madinah.
Ketika kaum Muslimin hendak meninggalkan Mekah, Maimunah menyeru dengan lantang dan amat berpengaruh serta berkesan ke dalam hati sebahagian orang Quraisy. Antara yang menerima seruan beliau ialah anak saudara beliau iaitu Khalid bin Al-Walid. Khalid merupakan pahlawan yang terkenal dengan kegagahan dan keberanian. Beliau turut hadir ke majlis perkahwinan Maimunah dan Rasulullah s.a.w. Setelah selesai majlis perkahwinan itu, Khalid telah mengisytiharkan dirinya memeluk Islam dan menghimpunkan pengikutnya lalu berkata:“ Sesungguhnya telah nyata bagi setiap orang yang berakal, bahawa Muhammad itu bukanlah tukang sihir atau penyair! Kata-katanya Kalam Tuhan semesta alam. Maka, benarlah semua yang memiliki hati untuk mengikuti baginda.”
Setelah tiba di Madinah, Maimunah menetap di rumah yang disediakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk beliau. Beliau seorang isteri yang baik, ikhlas, patuh dan setia terhadap Rasulullah s.a.w.. Maimunah juga menyukai apa yang disukai oleh Nabi s.a.w.. Maimunah akan merasa bahagia apabila mendengar segala tutur kata Rasulullah s.a.w.. Segala kebaikan dan sifat terpuji Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang telah membaja cinta Maimunah yang kian subur kepada suami beliau itu.
Pada saat itu, Rasulullah s.a.w. telah mendapat khabar berita Zainab, puteri sulung baginda telah meninggal dunia. Baginda amat sedih dengan berita itu. Dalam keadaan baginda yang sedih itu, Maimunah telah bertindak dan berusaha untuk menghiburkan hati baginda dan berusaha meringankan kepedihan hati yang sedang dialami baginda dengan penuh kebijaksanaan dan penuh kasih sayang yang tulus ikhlas.
Maimunah seorang isteri yang baik. Walaupun beliau adalah isteri baginda, namun beliau tidak pernah meminta sesuatu daripada baginda, sekalipun perkara itu adalah hak beliau. Lebih kurang dua tahun selepas perkahwinan beliau dengan Rasulullah s.a.w.,Baginda ditimpa sakit. Pada ketika itu, baginda berada di rumah Maimunah. Tetapi sakit baginda bertambah teruk dan memerlukan rehat yang sempurna. Baginda meminta kepada Maimunah agar beliau dibenarkan pergi ke rumah Aisyah. Permintaan terakhir suami yang tercinta dipersetujui oleh Maimunah. Di rumah Aisyah, baginda dirawat oleh semua isteri Rasulullah s.a.w.
Maimunah merupakan Ummul Mukminin yang sangat banyak menabur jasa kepada masyarakat Islam. Beliau lebih menumpukan perhatian terhadap masalah kaum wanita, terutama sekali kepada para remaja Islam. Bahkan beliau telah membentuk suatu pertubuhan wanita bagi memberi pertolongan kepada pejuang Islam yang tercedera dalam peperangan.
Pernah suatu ketika, semasa perang Tabuk yang terjadi pada bulan Rejab 9 Hijrah, Maimunah turut menyertai Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin berperang. Bahkan Maimunah berada di barisan hadapan sekali. Ketika beliau sedang merawat tentera Islam yang cedera, beliau hampir terkena anak panah musuh. Kemahiran dan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh beliau terus dikembangkan walaupun Rasulullah s.a.w. sudah tiada di sisi beliau. Perkara yang paling membanggakan ialah Maimunah merupakan wanita pertama yang menubuhkan persatuan wanita.
Pada zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah, tahun 51 Hijrah, Maimunah Ummul Mukminin berangkat dari Madinah Munawwarah ke kampung Saraf untuk suatu keperluan. Setiba beliau di sana, beliau mendapat sakit yang teruk dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir di situ. Beliau kembali kepada Allah S.W.T. ketika berusia 80 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di kampung itu sesuai dengan wasiat beliau sebelum ini untuk dikebumikan di tempat beliau bersatu dengan Rasulullah s.a.w..
Sumber:
1. Afzalur Rahman. Ensiklopedia Sirah. Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Akmal Mohd. Zin, Mohd. Safwan Amrullah. Ummahatul Mukminin Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Penerbit: al-Hidayah
3. S.M. Madni Abbasi, terj. Siti Sujinah Sarnap. Keluarga Nabi Muhammad s.a.w. Penerbit: Jahabersa
4. Kamus Dewan Edisi Ketiga
5. Raheequl Makhtum

Gamal Mubarak atau nama sebenarnya Gamal Al Din Mohammed Hosni Sayed Mubarak seketika pernah menjadi sebutan kerana kekayaan dan pengaruhnya di belakang bapanya bekas Presiden, Hosni Mubarak sehingga beliaulah dikatakan individu yang dipersiapkan oleh ayahnya untuk mengambil alih kepimpinan Negara.
Sebelum ini ketika menuntut di Iraq saya selalu diceritakan berkenaan anak lelaki sulong Presiden Saddam Hussein dan isteri pertamanya Sajida Tulfah, Uday Saddam Hussein al-Tikriti.
Anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam Muammar al-Gaddafi yang tegar memberikan amaran bahawa bumi Libya akan digenangi dengan darah para penentang ayahnya sekiranya mereka terus berdegil untuk meneruskan demonstrasi menentang kepimpinan ayahnya yang telah 42 tahun